Perlawanan persahabatan yang ketiga musim ini bermula dalam cuaca yang sangat baik dan pasukan tiada masalah untuk bermain tidak seperti minggu sebelumnya yang agak mencabar. Pengurus pasukan, Jason Wong meletakkan formasi 4-1-4-1 yang agak berbeza kali ini dengan menampilkan pemain tengah, Najmi sebagai tonggak utama di bahagian tengah.
Perlawanan dimulakan dengan persembahan yang boleh dikatakan agak longgar di bahagian tengah KPJ Penang FC apabila terdapat beberapa kesilapan kecil masih lagi terjadi di bahagian tengah walaupun tiada lagi asakan keras ke arah kawasan KPJ Penang FC oleh barisan pemain Troops FC. Apabila permainan mula memasuki minit ke lima, Troops FC cuba untuk melakukan percubaan serangan ke arah gawang KPJ Penang FC yang dikawal oleh Hazwan namun ketangkasan kapten pasukan, Afif dibantu oleh Leman dapat mematahkan cubaan tersebut.
KPJ Penang FC cuba membuat serangan balas dari bahgaian sayap kanan oleh Allix dan juga sayap kiri yang dikemudikan oleh Renu namun tiada gerakan susulan oleh penyerang menepati gawang Troops FC. Peluang yang dinantikan oleh Troops FC akhirnya tiba apabila bola terkena tangan pertahanan kiri KPJ Penang FC, Subki di dalam kotak penalti lantas menghadiahkan sepakan penalti buat Troops FC. Peluang ini tidak disia-siakan penyerang mereka untuk menyempurnakan sepakan penalti dan menewaskan Hazwan untuk gol pertama buat Troops FC. KPJ Penang FC mencuba sekali lagi menyerang dalam usaha untuk menyamakan kedudukan namun tidak berjaya.
Jason membuat pertukaran awal dengan membawa masuk Nuri menggantikan Subki dan Ti menggantikan Wan Cho. Ini bertujuan untuk menguatkan lagi pasukan di sebelah kiri kerana pihak lawan lebih cenderung untuk menyerang dari sebelah kiri berbanding di sebelah kanan. Dengan kemasukan dua pemain ini dapat menyeimbangkan permainan pasukan dengan Ti mencuba untuk menggerakkan bahagian tengah dengan lebih efektif.
Namun, pertukaran yang dilakukan ini tidak dapat menghalang Troops FC untuk membuat serangan berbahaya. Hasilnya, mereka berjaya mendapatkan gol kedua hasil tolakan bola di dalam kawasan penalti KPJ Penang FC menewaskan Hazwan buat kali kedua. Jason membuat lagi pertukaran ke atas pasukan dengan membawa masuk dua pemain pantas, Iman dan Sam masing-masing menggantikan Leman dan Zam. KPJ Penang FC berjaya untuk mengekang kemaraan pemain-pemain Troops FC dengan Najmi dan Afif berhasil mematahkan beberapa percubaan. Kedudukan semasa kekal sehingga akhir separuh masa pertama.
Separuh masa kedua bermula dengan pertukaran kebanyakan pemain dan beberapa peranan diubah untuk melancarkan permainan untuk babak kedua permainan. Antara pertukaran dilakukan adalah membawa masuk Zul, Shukri, Ikmar, Mujib, Syamil, Jai, Ariff dan Moss masing-masing menggantikan Hazwan, Boy, Nuri, Renu, Najmi, Yo, Allix dan Ti di posisi asal pemain.
Pada minit awal permainan di separuh masa kedua ini, dilihat pertukaran besar-besaran yang dilakukan tidak dapat mengembalikan momentum pasukan apabila Troops FC lebih bernafsu untuk melakukan serangan demi serangan tanpa ada satu pun serangan dari KPJ Penang FC. Kebanyakkan caturan serangan dari KPJ Penang FC akan mudah dipatahkan di bahagian tengah pasukan lawan dan menggagalkan pasukan untuk mara kehadapan dan membuat cabaran kepada gawang lawan.
Pertukaran pertama untuk separuh masa kedua dimulakan dengan Zulot menggantikan Jai. Memasuki suku kedua permainan, KPJ Penang berhasil melakukan percubaan dari sebelah kanan dengan larian deras oleh Sam. Namun, larian derasnya di sia-siakan dengan perangkap 'offside' oleh pihak lawan beberapa kali dan seterusnya menggagalkan KPJ Penang FC untuk melancarkan serangan ke arah gawang lawan.
Untuk memperkuatkan barisan serangan KPJ Penang FC, Jason telah membawa masuk Renu, Yasir, Allix dan Ti masing-masing menggantikan Sam, Moss, Ariff dan Mujib. Troops FC masih juga meneruskan asakan ke gawang KPJ Penang FC namun dapat dipatahkan cubaan oleh barisan pertahanan, Afif, Iman, Shukri dan dibantu oleh ketangkasan penjaga gol, Zul.
Berbaki suku akhir minit permainan, KPJ Penang FC berjaya sedikit sebanyak mengkucar kacirkan pertahanan lawan oleh siri serangan. Antaranya, rembatan deras Renu dari arah kanan tetapi tuah tidak menyebelahinya untuk sekurang-kurangnya membawa pulang gol saguhati kepada pasukan. Pertukaran terakhir oleh KPJ Penang FC adalah Yo dibawa masuk menggantikan Syamil dalam usaha mencuri gol dari perlawanan ini.
Wisel penamat ditiup dan Troops FC mengekalkan gol mereka dengan kemenangan 2-0 ke atas KPJ Penang FC. Walaupun kalah namun ketangkasan barisan tengah yang dilihat lebih bekerja keras dari barisan pertahanan kali ini disebabkan kecemerlangan mereka menahan asakan Troops FC dari memasuki barisan pertahanan pasukan wajar dipuji dan menyebabkan Troops FC gagal menambah sebarang gol pada babak kedua ini.
Untuk perlawanan kali ini, terdapat beberapa aspek yang dapat diperbaiki di masa hadapan pada hemat penulis. Antaranya ialah dengan menukar taktik serangan dari arah depan berbanding serangan dari bahagian sayap. Ini kerana barisan serangan masih lagi kekurangan penyudah tandukan berbanding sepakan dan secara tidak langsung merugikan umpanan dari sebelah sayap. Perkara ini perlu diberi perhatian serta latihan jika pasukan ingin mempelbagaikan lagi corak jaringan di masa hadapan.
Aspek lain yang hendak di ambil kira ialah pasukan haruslah menggunakan sepenuhnya 'aset' pasukan iaitu setiap pemain yang ada di dalam pasukan sebelum memikirkan pilihan-pilihan lain kerana setiap dari pemain mempunyai kelebihan ke atas posisi dan peranan masing-masing. Serta, tidak di lupakan juga komitmen pemain terhadap pasukan dalam usaha mereka untuk memberikan yang terbaik terhadap pasukan.
Akhir sekali, kepantasan pemain sayap pasukan dan barisan serangan amat cemerlang. Namun, kita masih memerlukan latihan ketika berdepan dengan perangkap 'offside' pihak lawan yang mana amat mudah memerangkap pemain dan seterusnya merencatkan rentak dan momentum pasukan dalam melakukan serangan. Walau apa pun, satu permainan yang baik dan diharap pasukan akan terus maju di dalam aksi seterusnya.