Perlawanan persahabatan pertama untuk tahun 2022 buat pasukan KPJ Penang FC menentang Gleaneagles FC. Untuk perlawanan ini, pasukan menampilkan sedikit kelainan dengan memperkenalkan enam formasi bagi tiga separuh masa dengan setiap satunya untuk formasi menyerang dan formasi pertahanan untuk makluman setiap pemain sebelum perlawanan.
Perlawanan berlangsung pada waktu malam dengan hujan yang sedikit lebat dan tiupan angin sejuk memberi cabaran kepada pasukan untuk bermain kali ini. Pasukan memulakan sepak mula dan cuba memberi cabaran ke arah gawang pasukan Gleaneagles FC. Namun, susunan formasi pihak lawan berjaya mengekang asakan sekaligus dapat menguasai permainan. Pasukan cuba menyerang dari arah kanan dengan Shukri diberi peranan sebagai wing back kali ini untuk membantu melancarkan beberapa siri serangan ke arah penyerang tunggal, Allix.
Syukur bermain selaku penyerang kedua di belakang Allix cuba membuat serangan menerusi larian derasnya namun dikekang oleh pertahanan lawan. Gleneagles FC akhirnya berjaya memecah kebuntuan gol dengan satu jaringan jarak jauh menewaskan penjaga gol, Zul dan membawa pasukan mereka mendahului satu gol ke atas KPJ Penang FC. Gol dihasilkan ekoran sedikit salah faham di antara pertahanan pasukan semasa cuba mengeluarkan bola dari kotak penalti pasukan dan dihukum dengan gol dari pihak lawan.
Shukri dikeluarkan dan digantikan dengan Yo dan beberapa minit kemudian Fahmi di bawa keluar dengan digantikan dengan Wafiy. Dengan kemasukan kedua-dua pemain ini di bawa masuk bertujuan untuk menyerang dan juga memperkuatkan barisan pertahanan. Separuh masa pertama berakhir dengan pasukan lawan memegang kelebihan satu gol.
Separuh masa kedua bermula dengan pertukaran 10 orang pemain dengan Hazwan, Najmi, Ikmar, Mujib, Ayen, Wan Cho, Adli, Ariffuddin dan Din menggantikan Zul, Afif, Moeen, Yasir, Moss, Faiz, Allix, Yo, Syukur dengan hanya Wafiy dan Boy meneruskan separuh kedua dengan sedikit perubahan posisi kepada Boy yang turun sebagai pertahanan kiri.
Tiada banyak perbezaan dengan separuh masa sebelumnya dengan Gleaneagles FC masih menguasai permainan dan melancarkan lebih serangan berbanding KPJ Penang FC. Walaubagaimanapun, dengan disiplin pasukan terutamanya barisan pertahanan berjaya mengekang beberapa siri serangan berbahaya menghampakan pihak lawan. Walaupun kurang peluang melakukan percubaan berbahaya ke atas lawan, pasukan sekurang-kurangnya berjaya menguji penjaga gol lawan dengan beberapa larian deras dari kiri oleh Mujib, asakan Ariffuddin ke atas pertahanan dengan satu hantaran silang namun tiada pemain pasukan berjaya menyudahkan hantaran dan beberapa siri hantaran oleh Ayen dan Wan Cho.
Pertahanan dan tengah Gleaneagles tampak lebih mantap untuk mengekang asak pasukan. Pasukan lawan banyak melakukan asakan dengan antaranya satu percubaan berjaya di keluarkan dengan kemas oleh Din dan juga satu serangan jauh berjaya dibaca oleh Hazwan dari membolosi gawang KPJ Penang FC untuk kali kedua. Barisan pertahanan terus mengekalkan disiplin dengan mengekang asakan-asakan berbahaya dan pasukan lawan cuba bermain dengan menyerang dari kiri dan kanan.
Satu-satunya pertukaran dari pasukan dengan Ariffuddin digantikan dengan Syukur. Syukur menjalankan peranannya dengan membuat larian bersama dengan Mujib untuk cuba mencari gol penyamaan. Separuh masa kedua berakhir dengan pasukan lawan mengekalkan kelebihan mereka.
Separuh masa ketiga bermula dengan misi mencari gol penyamaan dan pertukaran besar-besaran dilakukan dengan Zul, Allix, Leman, Razif, Zulot, Afif, Ti, Afy, Yo, Sam dibawa masuk dengan hanya Syukur meneruskan cabaran dari separuh masa kedua. Kombinasi pemain serangan mantap dan pantas, kreativiti pemain tengah dan pertahanan baru yang segar menjadi taruhan pasukan kali ini. Afif kali ini bermain di posisi kebiasaannya sebagai pertahanan tengah menjadi taruhan di bahagian pertahanan.
Pasukan cuba mengatur dan melancarkan serangan. Pada babak ketiga ini, lebih banyak serangan dan penguasaan bola berada dalam keadaan seimbang jika dibandingkan dengan separuh masa sebelumnya. Pasukan hampir menyamakan kedudukan dengan satu hantaran Yo dari arah kanan namun tiada penyudah di bahagian tengah. Kombinasi Sam dan Syukur dari arah kiri juga hampir membuahkan hasil namun pasukan masih ketandusan gol.
Gleaneagles juga cuba menjarakkan gol dengan beberapa larian dari arah kanan namun barisan pertahanan yang diketuai Afif serta ketenangan Zulot berjaya mengekang asakan. Leman dilayangkan kad kuning oleh pengadil akibat asakan dari belakang namun sekurang-kurangnya berjaya melengahkan momentum pasukan lawan. Leman di bawa keluar dan Boy dimasukkan bermain untuk separuh masa ketiga buat dirinya. Kepantasan Boy di bahagian tepi padang ditagih untuk membantu serangan kali ini.
Zul dengan keyakinannya berjaya menyelamatkan beberapa percubaan bahaya dari pihak lawan dan juga berjaya menafikan satu sepakan percuma dari lawan dari menerjah gawang pasukan. Disiplin dan ketekunan pasukan tidak berjaya menghalang lawan yang akhirnya menjaringkan gol kedua, juga hasil dari salah faham barisan pertahanan menghukum KPJ Penang FC dan melebarkan jaringan.
Berbaki beberapa minit, pasukan cuba mendapatkan sekurang-kurang gol sagu hati namun tidak berhasil. Perlawanan berakhir dengan Gleaneagles FC 2, KPJ Penang FC 0.
Secara amnya, perlawanan yang baik buat pasukan dan perlawanan ini boleh dijadikan sebagai pemanas badan sebelum pasukan berkunjung ke Perlis minggu hadapan berdepan KPJ Perlis FC dalam siri perlawanan persahabatan kedua. Tidak dinafikan, pasukan agak kurang menyerang namun keberanian untuk melakukan percubaan dan asakan wajar diberikan pujian. Disiplin kesemua pemain cemerlang dengan masing-masing faham dengan setiap peranan masing-masing. Kelekaan dan hilang tumpuan semasa perlawanan adalah perkara yang normal tetapi berjaya diatasi di atas padang hasil sokongan rakan-rakan sepasukan namun ianya perlu diminimakan untuk perlawanan akan datang. Semoga KPJ Penang FC membawa kejayaan semasa kunjungan ke Perlis nanti!!!